Monday, February 20, 2012

PAG Chiang Mai



Urusan pindah-milik seketul batu dari dasar laut di Myanmar ini telah lama dirancangkan oleh pihak-pihak tertentu.  Ianya telah dirancangkan hampir tiga atau empat tahun yang lalu.  Pada asalnya tiga ketul batu ini telah ditemui oleh nelayan warga Myanmar dan setelah berjaya dikeluarkan, batu-batu ini didapati mempunyai keistimewaan tersendiri.  Berat kesemua batu itu adalah lebih kurang 21 kilogram.   Salah satu batu tersebut telah dipindah-milik dengan mahar yang tinggi dan nelayan tersebut telahpun dikurniakan sebidang tanah di sebuah negara yang dipilihnya.  Beliau telah membina sebuah kampung di situ.  Dua ketul selebihnya telah dijual kepada seorang VIP di negara jiran dengan harga yang agak rendah dan sejak itu batu-batu tersebut telah disimpan di dalam sebuah bank.  Berbagai pihak telah mencuba untuk mendapatkan batu tersebut dengan harga tawaran masing-masing.  Salah satu kumpulan yang berminat adalah dari Malaysia termasuk kumpulan saya.

Setelah maklumat terperinci diperolehi, kami mula mengorak langkah untuk menjalankan urusan.  Langkah pertama adalah untuk mengesahkan keadaan batu tersebut melalui seorang wakil yang dipercayai oleh “senior most member” kumpulan kami yang bergelar Dato’.  Orang kepercayaan dan wakil ini dikenali sebagai Pak Mad.  Segala pengesahan dan hubungan dengan pemilik batu ini adalah Pak Mad.  Pak Mad adalah “key-man” di dalam urusan ini.  Beliau telah melantik seorang penterjemah yang bernama Pak Hamid untuk membantu menterjemah dan sebagai jurucakap antara beliau dan pihak pemilik barang yang tidak boleh bertutur dalam bahasa lain selain Thai.
Setelah yuran urusan sebanyak MYR10,800.00 dibayar, tarikh urusan telah ditetapkan pada 14 Feb hingga 16 Feb 2012.  Seperti biasa, segala urusan di luar negara mesti dilaksanakan selama tiga hari iaitu hari pertama untuk pergerakan ke tempat urusan, perbincangan dan pentadbiran.  Hari kedua untuk ujian keindahan barang dan hari ketiga untuk bayaran atau “post-mortem”. 


Hari Pertama

Kumpulan kami berlepas dari LCCT pada jam 06:55 pagi, 14 Feb 2012.  Sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Chiang Mai pada jam 08:36 waktu tempatan iaitu 09:36 waktu Malaysia.  Pak Mad menunggu kami dengan sebuah van yang besar dan selesa.   Kami dibawa ke sebuah hotel yang baru se bulan beroperasi.  MAY I Inn-itulah nama hotel tersebut dan ianya dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina dari Bidor, Perak.  Selesa dan bersih.   Stafnya juga peramah.

Setelah kami makan tengah hari di sebuah Restoran Muslim di situ, kami berjumpa dengan Governor Bersara Hatyai yang pada awalnya diperkenalkan sebagai pemilik batu istimewa berkaitan.  Beliau ditemani oleh seorang peguam yang tidak tahu bahasa lain selain Thai.  Umpama ayam bercakap dengan itik.  Melalui jurubahasa saya difahamkan pemilik batu mengenakan bayaran deposit sebanyak Thai Baht100 juta (MYR10 juta) untuk membolehkan batu tersebut dikeluarkan dari bank dan diuji. 

Perbincangan terpaksa dilakukan kerana tidak ada di dalam prosedur kami untuk membayar deposit atau seumpamanya.  Sepatutnya Pak Mad telah menjelaskan perkara ini sejak 3-4 bulan yang lalu, yakni diperingkat awal urusan.  Apabila perkara deposit ini  timbul, ini bermakna Pak Mad telah gagal di dalam urusan yang diamanahkan kepadanya.  

Kumpulan Governor berlepas pulang.  Beberapa siri perbincanag lagi telah diadakan dan telah dipersetujui wang deposit tidak perlu diadakan.  Walaupun begitu, mereka berkehendakkan bukti perlantikan penguji sama ada surat resmi atau sijil.  Syarat itu juga tidak dapat ditunaikan oleh penguji kerana ianya tidak dibenarkan sehingga urusan berjaya.   Perbincangan diteruskan dan dipersetujui tidak perlu kepada bukti dan sebagainya.  Lebih kurang 2 jam selepas itu, seorang lagi “governor pencen” telah datang bersama-sama 7-8 orang pengiring.  Dengan lagak sombongnya,  governor pencen tersebut pula diperkenalkan sebagai pemilik batu tersebut.  Beliau kini masih menjadi pegawai tinggi polis.  

“Pemilik terkini” batu tersebut mahukan ujian dibuat pada hari itu juga iaitu hari pertama urusan.  Ini juga bertentangan dengan prosedur penguji seperti yang disebut pada awal tulisan saya.   Oleh kerana penguji tidak dibenarkan menjalankan ujian pada hari pertama, “pemilik terkini” meninggalkan kami di dalam keadaan yang agak marah.  

Salah seorang jemaah kumpulan saya yang berada di Kuala Nerang meminta saya bersabar dengan keadaan tersebut dan katanya pemilik batu akan datang merayu untuk meneruskan urusan sebelum tengah malam menjelang.  Apa yang dikhabarkan oleh jemaah saya itu menjadi kenyataan apabila governor pencen Hatyai dan peguamnya sampai lebih kuang jam 22:00 malam meminta urusan dijalankan keesokan harinya jam 14:00 petang.




Hari Kedua

Sejak dari jam 08:00 pagi kami menunggu berita untuk menjalankan urusan.   Hampir tengah hari berita diterima bahawa pemilik barang yang kini telah disahkan seorang wanita (pulak?) terpaksa menziarahi ibu-bapanya yang sakit.  Oleh kerana tempat ibu-bapanya jauh, mungkin urusan tertangguh ke lewat petang.  Pada jam 17:00 petang, Pak Mad mengesahkan urusan dibatalkan kerana pemilik batu telah bergerak meninggalkan Chiang Mai.  Segala usaha kini menjadi sia-sia kerana kegagalan pengurusan sejak awal lagi.  Pak Mad yang dipercayai sebagai liaison gagal menerangkan prosedur urusan dan beliau juga gagal menyaksikan keindahan batu tersebut sebelum kami dipanggil ke Chiang Mai.  Beliau mengesahkan keindahan batu tersebut dengan hanya melihat sekeping gambar dan bukan secara fizikal.  

Untuk menggantikan urusan tersebut, penguji telah memberikan kebenaran untuk membawa barang-barang lain untuk dijadikan galang ganti sebelum jam 12:00 tengah malam.   Apa yang dapat dicari ditempat yang asing bagi kami?  

Akhirnya salah seorang dari kami (wakil dari Pahang) ingin mencuba permata hitam yang dibawanya dan setelah beliau bersedia, ujian dilaksanakan.  Namun oleh kerana ketiadaan persiapan dan masa yang suntuk, ujian gagal dilepasi.  Apabila jam menunjukkan waktu 12:01 pagi, maka berlalulah hari kedua dan tidak ada apa-apa lagi dapat dilakukan.  Hanya menunggu hari ketiga untuk berlepas pulang.


Hari Ketiga


Pada hari ketiga, jam 14:00 waktu Thailand, kami telah bersedia untuk ke lapangan terbang.  Pak Mad dan Pak Hamid sudah lesap sejak dari semalam.  Kami terpaksa mencari tut-tut untuk ke lapangan terbang.  Mujurlah staf hotel membantu mendapatkan tut-tut dengan  sewa (chartered) Thai Baht200 (MYR20.00).   

Kami berlepas dari Chiang Mai jam 15:15 (16:15 waktu Malaysia) dan sampai di LCCT pada jam 19:07 malam.  

Urusan gagal  termahal yang pernah saya lakukan sejak 2009. 

    

No comments:

Post a Comment

Have something to share?